MENU

JABATAN PENILAIAN & PENGURUSAN HARTA

MAJLIS DAERAH LENGGONG 2016

 

1. Apa itu Cukai Taksiran / Cukai Pintu ?

Cukai Taksiran / Cukai Pintu dikuatkuasakan mengikut peruntukan Seksyen 127, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ia adalah cukai yang dikenakan ke atas harta tanah yang terletak di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Lenggong meliputi harta-harta berikut :

1. Kediaman

2. Perniagaan

3. Perindustrian

4. Tanah kosong

 

2. Siapa Perlu Menjelaskan Cukai Taksiran /Cukai Pintu ?

Seksyen 146, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171):

“Semua kadar (Cukai Taksiran/Cukai Pintu) hendaklah dibayar oleh orang yang mana adalah pemunya pegangan pada masa itu…”

Secara ringkasnya, cukai taksiran/cukai pintu dikenakan kerana kediaman atau premis anda berada di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Lenggong.

 

3. Mengapa cukai taksiran/cukai pintu dikenakan oleh MDLG sedangkan ianya telah dikenakan cukai tanah  oleh Pejabat Tanah?

Cukai tanah yang dikenakan ke atas setiap tanah menurut Kanun Tanah Negara 1965 adalah berdasarkan kepada hakmilik yang dilupuskan oleh Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965. Manakala cukai taksiran/cukai pintu yang dikenakan oleh MDLG adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)

 

4. Jika saya adalah seorang penyewa, perlukah saya membayar Cukai Taksiran/Cukai Pintu?

Perlu jika bil tersebut tertunggak dan pemilik ingkar membayar cuka taksiran / cukai pintu. Di bawah Seksyen 155, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menerangkan bahawa sekiranya penyewa sesuatu premis terpaksa membayar cukai taksiran/cukai pintu bagi pihak pemilik berdaftar pegangan maka penyewa tersebut boleh memotong daripada bayaran sewanya mengikut amaun yang telah dibayar.

 

5. Bilakah Cukai Taksiran / Cukai Pintu sepatut di bayar ?

2 kali setahun pada :

Penggal Pertama : 1hb Jan – 28hb Feb setiap tahun.

Penggal Kedua : 1hb Julai – 31hb Ogos setiap tahun.

Bil cukai taksiran/cukai pintu akan diedarkan kepada orang ramai pada setiap awal penggal atau boleh dapatkan bil tersebut di Kaunter Bayaran Majlis Daerah Lenggong

 

6. Cukai Taksiran / Cukai Pintu yang dibayar digunakan untuk tujuan apa ?

Kutipan dari cukai taksiran/cukai pintu adalah perlu untuk menampung perbelanjaan MDLG dalam menyediakan perkhidmatan seperti :

1. Kos penyelenggaraan jalan, parit jalan, gerai dan bangunan awam.

2. Membina atau menyelenggara taman rekreasi.

3. Pemotongan rumput,

4. Bayaran bil elektrik (lampu jalan, lampu isyarat, bangunan awam).

5. Bayaran bil air untuk bangunan awam (pasar tandas,dewan,).

6. Penyelenggaraan landskap.

7. Penyelenggaraan lampu jalan.

            8.Mengatasi bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

 

7. Apa yang saya perlu dilakukan jika tidak menerima bil Cukai Taksiran / Cukai Pintu ?

  • Sila dapatkan bil cukai taksiran/cukai pintu di Kaunter Bayaran Majlis Daerah Lenggong
  • Tiada pengecualian denda diberi atas alasan tidak menerima bil cukai cukai taksiran/cukai pintu.
  • Adalah menjadi kewajipan kepada setiap pemilk pegangan untuk mendapatkan bil dan menjelaskan bayaran.

 

8. Jika anda tidak menjelaskan Cukai Taksiran / Cukai Pintu mengikut tempoh yang ditetapkan ?

Anda akan dikenanakan Notis Lewat (Borang E) di mana bayaran RM 20.00 bagi tunggakan tidak melebihi RM 200.00 dan  bayaran RM 30.00 bagi tunggakan melebihi RM 200.00.

 

9. Sekiranya MASIH GAGAL menjelaskan Cukai Taksiran / Cukai Pintu ?

WARAN TAHANAN (Borang F) akan dikeluarkan kepada anda. Waran ini akan membolehkan Pegawai MDLG yang diberi kuasa untuk MENYITA harta anda di bawah Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

 

10. Di manakah bil Cukai Taksiran / Cukai Pintu boleh dibayar?

Anda  boleh membuat bayaran bil cukai taksiran/cukai pintu menerusi saluran berikut:

  • Kaunter bayaran di MDLG
  • Kaunter Bayaran Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negeri Perak
  •  www.maybank2u.com.my
  • Kaunter BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN)

 

11. Jika saya telah tukar milik / menjual / mewariskan rumah / harta, apa perlu saya buat?

 

  • Adalah menjadi kewajipan penjual dan pembeli memberitahu kepada Majlis dengan mengisi Borang 1 / Borang J dan yang berkenaan dalam tempoh tiga bulan selepas pindah milik dilakukan.
  • Jika gagal pihak MDLG boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 160(6) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dimana jika disabitkan didenda tidak melebihi RM2000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

 

12. Apakah saya layak menerima rebat jika bangunan saya tidak didiami?

  • Anda hendaklah memberi notis kepada pihak MDLG jika bangunan anda kosong dan tidak didiami.
  • Anda akan layak untuk diberi rebat jika segala syarat dalam Peraturan 5 dan 6 yang terkandung dalam Peraturan (Kadaran) Pihak Berkuasa Tempatan 1997 dipenuhi.

 

13. Apakah yang harus saya lakukan apabila ingin membeli sebuah rumah atau tanah kosong?

  • Semak dulu dengan pihak MDLG untuk nama yang didaftar dan tunggakan yang masih ada bagi rumah / tanah tersebut untuk mengelakkan anda menyesal di kemudian hari.
  • Seksyen 146, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menegaskan bahawa semua kadar (tunggakan) adalah menjadi tanggungjawab pemilik pada masa itu untuk menjelaskannya.
  • Anda dinasihatkan supaya menyemak dahulu pengurusan yang menguruskan urusniaga harta tersebut untuk menentukan tunggakan telah dijelaskan oleh pemilik  sebelumnya.

 

HUBUNGI KAMI

Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta
Majlis Daerah Lenggong
Jalan Alang Iskandar
33400 Lenggong

No Telefon Pejabat: 05-7677 207/307

No Faks: 05-7677 002

Emel: urusetia@mdlg.gov.my

Nama Pegawai : Siti Rafeah Binti Dzukupli