MENU

 

   GALERI ARKEOLOGI LENGGONG

 

Galeri Arkeologi Lenggong atau dikenali sebagai Galeri Arkeologi Kota Tampan terletak di sebuah kawasan bekas ladang Kelapa Sawit di Kampung Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong dan berada dalam Daerah Hulu Perak iaitu 8 km ke selatan dari Pekan Lenggong dan 2 km dari jalan raya Kuala Kangsar - Grik. Keluasan keseluruhan kawasan Galeri ini di anggarkan seluas 8.16 ekar dan yang telah dibangunkan seluas 2 ekar dengan 2 blok bangunan yang mempunyai 2 Galeri Pameran, Pejabat, Bilik Audio Visual, Bilik Mesyuarat dan Bilik Penyelidikan.

Galeri Arkeologi Lenggong ditubuhkan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti dibawah Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan dibina pada tahun 1999 dan siap pada tahun 2000 serta telah dibuka untuk kunjungan awam pada tahun 2001 dengan menyediakan pameran sementara. Kerja-kerja merekabentuk dalaman dan pengisian bermula pada tahun 2001 dan siap pada 2003.

Lokasi pembangunan Galeri ini dibina berdasarkan kepada signifiken tapak arkeologi zaman Paleolitik yang wujud 74,000 tahun B.P. dan merupakan penemuan tapak terawal bermula di Kota Tampan iaitu tapak Galeri kini setelah mendapati Lembah Lenggong adalah sebuah Daerah yang banyak menyumbang data kepada pengetahuan prasejarah negara dari 1,000 hingga 300,000 tahun dahulu berdasarkan interpretasi budaya material dan teknologi zaman Paleolitik masyarakat kuno.

Pameran tetap terletak di:
a. Balai Galeri Arkeologi Lenggong.
b. Galeri Kota Tampan.

Pameran sementara pula merupakan penemuan terbaru Arkeologi dari masa ke semasa.

KOLEKSI & GALERI

Galeri ini mempamerkan semua artifak dan maklumat dari ekskavasi Arkeologi Pra Sejarah yang ditemui khususnya tumpuan kepada sekitar Lembah Lenggong dalam bentuk medium yang menarik dan berinformatif. Pameran di galeri utama Galeri ini dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu:-

1. Pengenalan
2. Arkeologi
3. Teknologi
4. Paleolitik
5. Gua Gunung Runtuh (Perak Man)
6. Gua Teluk Kelawar
7. Gua Harimau
8. Lukisan Gua
9. Orang Asli
10. Tapak Sezaman Lenggong

Di antara koleksi menarik yang dipamerkan ialah:-

1. Alat-alat batu zaman Paleolitik di Bukit Jawa, Kg. Temelong, Bukit Bunuh dan Lawin
2. Alat-alat batu bifas dan unifas yang ditemui di Gua Teluk Kelawar, Gua Ngaum, Gua Gunung Runtuh dan lain-lain tapak        di Lembah Lenggong
3. Rangka 'Perak Man' yang berusia 10,000 - 11,000 tahun ditemui di Gua Gunung Runtuh
4. Peralatan yang digunakan untuk Penyelidikan Arkeologi
5. Koleksi barangan masyarakat orang Asli dan perkaitannya dengan kehidupan manusia pra-sejarah
6. Lukisan di Gua-gua dan kajian terhadap tapak arkeologi sezaman dengan Lenggong
7. Alat-alat pengebumian Neolitik Gangsa Gua Harimau seperti Tembikar, Alat Batu, Perhiasan diri, Acuan dan Kapak Gangsa.

Hari & Masa Lawatan (Ditutup buat sementara waktu bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan)

Isnin - Ahad : 9.00 pagi - 5.00 ptg
Jumaat : 9.00 pagi - 12.00 tengahari
3.00 ptg. - 5.00 ptg

Pegawai untuk dihubungi

Pn. Nur Aidah Pirus - Penolong Kurator

Alamat

Galeri Arkeologi Lenggong,
Jabatan Warisan Negara,
Kota Tampan Lenggong,
33400 Perak Darul Ridzuan.
Tel: 05-7679700
Faks: 05-7679703

 

Sila klik disini